Welcome To My Life...

Tuesday, January 23, 2018

Welcome Alexis

Assalamualaikum.

23 Januari 2018, awal pagi Selasa yang indah bagi peminat setia Manchester United di seluruh dunia.


Selepas seminggu lebih menanti pengumuman rasmi, akhirnya perpindahan Alexis Sanchez diumumkan oleh laman web dan laman media sosial rasmi kelab dengan video yang menarik. Khabar angin perpindahan Alexis Sanchez dari Arsenal ini sudah berlarutan sejak musim panas tahun lalu.

Sanchez dikhabarkan sudah bersetuju untuk menyertai Manchester City. Namun kelab Manchester United telah menghubungi kem Sanchez ketika jendela perpindahan Januari dibuka. Manchester City menolak untuk menyaingi kontrak yang ditawarkan oleh Manchester United.

Pep Guardiola terpaksa akur untuk tidak mendapatkan pemain Chile berusia 30 tahun ini dengan alasan 'kewangan' sedangkan Pep sudah 'menabur wang' untuk mendapatkan beberapa orang pemain pertahanan dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Kesungguhan Manchester United meyakinkan Sanchez sementara dia juga meminati kelab ini di zaman remaja. Sanchez memilih untuk keluar dari Arsenal dengan apa cara sekali pun kerana sudah menanti kejuaraan liga terlalu lama sejak menyertai Arsenal dari Barcelona. 

Walaupun Manchester City sedang mendahului liga musim ini dengan jurang yang besar dengan baki 14 perlawanan, Sanchez tetap memilih kelab Manchester dengan tradisi yang lebih besar. Kehadiran Sanchez ini akan menguatkan Manchester United untuk saingan pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah yang akan bersambung bulan depan.

Sementara itu, Henrikh Mkhitaryan berpindah ke Arsenal sebagai ganti. Mkhitaryan yang berpindah ke Manchester United dari Borussia Dortmund semakin sukar mendapat tempat dalam pasukan utama. Perpindahan Mkhitaryan ini diharapkan dapat menyelamatkan kariernya untuk berada di kelab yang menghargai bakatnya.

Change is the only constant in life.

--------------

Kekalahan Liverpool kepada Swansea dalam aksi liga menambah keceriaan para peminat Manchester United. Liverpool memulakan perlawanan di tempat keempat, tiga mata di belakang Chelsea (tempat ketiga) dan enam mata di belakang United.

Kemenangan untuk Liverpool bermakna jumlah mata mereka akan sama dengan Chelsea semula. Liverpool sedang berada di kemuncak keyakinan dengan baru saja menghadiahkan kekalahan liga pertama untuk Manchester City di Anfield minggu lalu. Selain itu, pertahanan baru mereka yang dibeli dengan harga mahal, Virgil Van Dijk, membuat penampilan liga yang pertama.

Malang sekali, awal pagi tadi segalanya tidak menjadi buat Liverpool. Swansea bertahan habis-habisan dan satu jaringan tunggal oleh Alfie Mawson sudah cukup untuk Swansea di tangga terakhir liga mengutip tiga mata penuh.

Kekalahan ini bermakna Liverpool kekal di tangga keempat, di hadapan Tottenham Hotspurs dan masih di belakang dua kelab Manchester dan juga Chelsea. 

Glory glory Manchester United.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif