Welcome To My Life...

Wednesday, October 18, 2017

9+1

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, selepas sekian lama penulis berhasrat untuk membaca novel-novel, akhirnya hajat ini ditunaikan oleh Allah. Kebetulan penulis ada wang sendiri untuk membeli buku-buku ini. 


TOMBIRUO: PENUNGGU RIMBA
SEMANGAT HUTAN
TOMBIRUO TERAKHIR

Sebaik saja promosi filem adaptasi dari novel ini begitu rancak di segenap pelosok alam buana, penulis terus berminat untuk membaca karya yang dihasilkan oleh penulis thriller terkenal di Malaysia, Ramlee Awang Murshid. Maka penulis terus tempah trilogi Tombiruo.

Penulis hanya membelek novel pertama (Penunggu Rimba) setelah selesai menonton filem di pawagam. Bolehlah penulis katakan bahawa filem adaptasi itu telah digarap sedikit jauh dari versi novel. Latar tempat dalam filem tidak kena dari sudut geografi dan hanya beberapa watak penting seperti Tombiruo, Pandolou, Amiruddin, Wan Suraya, dan Monsiroi saja yang diambil terus dari novel.

Versi filem itu juga hanya diolah dari novel pertama (Penunggu Rimba). Mungkin nanti ada sekuel untuk menterjemah pula novel kedua dan seterusnya novel 'Tombiruo Terakhir'.


ASRAMA dan ASRAMA:2 (Muhammad Fatrim)
GANTUNG dan GANTUNG:2 (Nadia Khan)

Fixi adalah satu penerbitan novel-novel indie yang tidak terikat dengan gaya bahasa berbunga-bunga dan formal. Gaya penulisan agak santai dan kasar. Semasa zaman sekolah menengah dulu, penulis pernah membaca novel 'Asrama' yang dibeli oleh kakak penulis. Jalan ceritanya agak menarik pada pandangan penulis.

Selepas beberapa tahun, barulah diberi kesempatan lagi untuk membeli novel Fixi sempena #mycybersale2017 yang memberikan promosi kombo (tiga novel untuk satu harga runtuh termasuk kos pos). Kebetulan juga sambungan 'Asrama' iaitu 'Asrama:2' diterbitkan tahun ini.

Penulis memilih untuk membeli sekuel Asrama dan juga dua novel karangan Nadia Khan. Berlaku sedikit kesilapan teknikal apabila Gantung dan sekuelnya sampai bersama novel 'Asrama' (bukan 'Asrama:2' seperti yang dipesan). Kredit kepada pihak Fixi yang mengepos naskhah yang betul seperti yang dikehendaki tanpa banyak kerenah.

Maka penulis mendapat satu buku percuma. Buy 3 free 1.


GELAP (Ariff Adly)
RAHSIA (Faizal Sulaiman)
LENDU (Blue)

MyCyberSale hanya berlangsung dari 9-13 Oktober. Pada hari terakhir promosi, penulis memilih untuk membeli satu lagi set kombo. Selepas jenuh membelek semua judul yang pernah diterbitkan oleh Fixi, maka penulis memilih tiga judul di atas. 'GELAP' dengan genre misteri dan psikotik yang telah dicetak semula banyak kali sejak tahun 2013.

'LENDU' yang mula dicetak awal tahun ini telah pun mencapai cetakan keempat. Ianya dikatakan diari seseorang bernama 'Blue'. Penulis rasa ianya tentang legenda misteri UiTM kampus Lendu yang terkenal. Judul ketiga pilihan penulis adalah 'RAHSIA' yang baru saja diterbitkan pada bulan Julai 2017 dan telah diulang cetak. Sinopsisnya menarik tentang rahsia silam, dan reviu tentang novel ini juga memuaskan.

-------------------------

Ada 9 novel baru yang penulis akan baca, selain satu novel percuma yang ditambah ke koleksi kerana kesilapan teknikal. Mungkin selepas ini, jika ada kesempatan, penulis berminat untuk membeli judul-judul berikut dari Fixi.

Trilogi 'MURTAD': Murtad, Tuhan, Qisas (Hasrul Rizwan)
Trilogi 'NOTA': Nota, Nota:2, Nota:3 (Shaz Johar)
'PARANORMAL' dan 'PARANOIA' (Hani Suraya)
'KELABU' (Nadia Khan)

Penulis suka sinopsis tentang novel-novel itu tetapi kerana kekangan batas kombo, mungkin di lain masa boleh didapatkan.

Keyboard off.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif