Welcome To My Life...

Monday, April 10, 2017

Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017: Final

Assalamualaikum.

Terbuka Malaysia 2017 anjuran Celcom Axiata yang berlangsung di Kuching, Sarawak, melabuhkan tirainya dengan lima aksi final. Perbezaan generasi dapat dilihat dalam senarai pemain. Dua legenda agung badminton bertembung dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki. Dua pakar beregu China dari generasi baru pula beraksi dalam dua acara.

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan akhir. Dua kejuaraan untuk China, dan masing-masing satu untuk Indonesia, Taiwan, dan Jepun. Malang sekali tiada anak tempatan memenangi acara di bumi sendiri. 

MS: Lin Dan (China) vs Lee Chong Wei (Malaysia) 21-19 21-14
MD: Marcus Gideon/Kevin Sanjaya (Indonesia) vs Fu Haifeng/Zheng Siwei (China) 21-14 14-21 21-12
WS: Tai Tzu Ying (Taiwan) vs Carolina Marin (Sepanyol) 23-25 22-20 21-13
WD: Yuki Fukushima/Sayaka Hirota (Jepun) vs Huang Yaqiong/Tang Jinhua (China) 21-17 18-21 21-12
XD: Zheng Siwei/Chen Qingchen (China) vs Lu Kai/Huang Yaqiong (China) 21-15 21-18

Jaguh China dan salah seorang legenda perseorangan lelaki terhebat sepanjang zaman, Lin Dan, membuktikan dia ialah bintang utama generasi yang menuju penghujung dengan kemenangan straight set ke atas legenda tuan rumah, Dato' Lee Chong Wei. Perseteruan mereka merentasi masa lebih sedekad dan deretan kejuaraan seluruh dunia antara mereka. Kemenangan terbaru Lin ini melebarkan rekod mengatasi Chong Wei kepada 25-11.

Beregu sensasi Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo terus mencipta gelombang dalam dunia badminton apabila menjuarai kejuaraan Siri Super ketiga berturut-turut selepas Seluruh England dan Terbuka India. Walaupun diberi cabaran tiga set oleh pasangan muda dan berpengalaman dari negara Tembok Besar China, gandingan yang disamakan dengan Rexy Mainaky/Ricky Subagja ini membuktikan keunggulan dengan aksi pantas dan lincah.

Ratu badminton dan pemain nombor satu dunia ketika ini, Tai Tzu Ying dari Taiwan bertembung dengan juara Olimpik Rio 2016, Carolina Marin dari Sepanyol. Ibarat buku bertemu ruas. Jika Tai mahu lawan setanding dengan kekuatannya, Marin ialah musuh yang setara. Selepas cuba mengejar habis-habisan, Tai tewas jua set pertama 23-25. Tai selaku juara Seluruh England menang dua set berikutnya untuk mengukuhkan statusnya di takhta ranking dunia sebagai pemain wanita terbaik masa ini.

Kemaraan Yuki Fukushima/Sayaka Hirota dalam acara beregu wanita tidak dapat disekat lagi. Menentang beregu China yang juga sedang mendaki puncak, Yuki dan Sayaka mensia-siakan kemenangan set pertama apabila tumbang di set kedua. Namun mereka mempunyai cukup kekuatan mental untuk menang set penentuan sekali gus ditabalkan juara Terbuka Malaysia dan menjadi beregu Jepun seterusnya yang boleh diharapkan selepas pasangan nombor satu dunia, Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi yang ditewaskan di peringkat separuh akhir.

Dua pasangan China berentap sesama sendiri dalam aksi final untuk mengesahkan kejuaraan milik China. Zheng Siwei yang tewas dalam final beregu lelaki sudah pun terlebih dulu memenangi acara ini yang dipertandingkan lebih awal. Bergandingan dengan ratu beregu berusia 19 tahun, Chen Qingchen, mereka menang straight game menentang juara Seluruh England, Lu Kai dan Huang Yaqiong. Malang sekali buat Yaqiong yang tewas kedua-dua aksi final kali ini (beregu wanita/campuran).

Tirai telah dilabuhkan. Duka buat Malaysia kerana tiada pemain yang mewakili Malaysia menjadi juara. Harapan utama dan terbaik, Dato' Lee terpaksa akur kepada musuh tradisinya. Beregu lelaki utama, Goh V Shem/Tan Wee Kiong tersingkir awal. Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying terpaksa menarik diri dari aksi beregu campuran kerana Liu Ying cedera dan mereka juga berundur dari Terbuka Singapura selepas ini. Pemain-pemain muda yang lain tidak boleh diharapkan.

Indonesia memiliki gandingan beregu ampuh Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Ricky Karandasuwardi/Angga Pratama yang menjadi pasangan yang mahu dikalahkan semua. Taiwan memilik ratu badminton dunia, Tai Tzu Ying. Sepanyol memiliki Carolina Marin selaku pencabar utama Tai. Jepun berbangga dengan kekuatan dalam acara wanita. Nozomi Okuhara dan Akane Yamaguchi dalam acara perseorangan, dan empat gandingan beregu yang mantap: Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi, Naoko Fukuman/Kurumi Yonao, Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto, dan Yuki Fukushima/Sayaka Hirota.

China sudah pun mempersiapkan armada muda mereka untuk menggantikan para pemain senior. Para pemain muda mereka menjadi pakar beregu (Zheng Siwei, Chen Qingchen, Huang Yaqiong) yang boleh beraksi dalam dua acara. Perseorangan lelaki (Shi Yuqi) dan perseorangan wanita (Chen Yufei, He Bingjiao) juga sudah diisi.

China sudah bersedia untuk menggegar dunia, dan Malaysia masih lena. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif