Welcome To My Life...

Friday, April 7, 2017

Celcom Axiata Terbuka Malaysia 2017: Pusingan Kedua

Assalamualaikum.

Pertandingan badminton Super Siri Premier Terbuka Malaysia 2017 yang berlangsung di Kuching, Sarawak, diteruskan dengan pusingan kedua. Malang di kem negara dalam pusingan pertama semalam apabila beberapa wakil negara tersungkur. 

Antara yang tersingkir termasuklah dua pasangan beregu yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying. V Shem/Wee Kiong tumbang kepada beregu Hong Kong, Or Chin Chung/Tang Chun Man manakala Peng Soon/Liu Ying disingkirkan oleh Edi Subaktiar/Gloria Widjaja (Indonesia).

Cabaran negara diteruskan oleh Chooi Kah Ming/Low Juan Shen (beregu lelaki); Lee Chong Wei (perseorangan lelaki); Goh Jin Wei (perseorangan wanita); Ong Yew Sin/Teo Ee Yi (beregu lelaki); dan Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean (beregu wanita). Empat dari lima wakil negara akan menentang lawan dari China dan Dato' Lee akan berdepan musuh dari Hong Kong.

Berikut adalah keputusan pusingan kedua setiap acara.

-----------------------------------------

Perseorangan Lelaki

Suku akhir: Indonesia (1), Malaysia (1), Korea Selatan (2), China (2), Hong Kong (1), India (1)

Pemain muda Indonesia, Jonatan Christie menundukkan pemain utama Taiwan untuk meneruskan cabaran. Lee Chong Wei pula menjadi satu-satunya wakil tuan rumah yang masih bersaing dengan kemenangan mudah mengatasi lawan dari Hong Kong. Son Wan Ho (Korea) menewaskan lawan dari Indonesia dan rakan senegaranya Jeon Hyeok Jin menyingkirkan lawan dari Perancis.

Lin Dan dan Chen Long juga meneruskan persaingan China. Lin Dan mudah membenam pemain Thailand ketika Chen Long berhempas pulas mengatasi rakan senegara. Vincent Wong (Hong Kong) juga menundukkan rakan senegara. Ajay Jayaram (India) pula mengejutkan bintang sensasi dan pilihan keempat dari Denmark, Viktor Axelsen.

-------------------------------------------

Beregu Lelaki

Suku akhir: China (3), Indonesia (1), Thailand (2), Jepun (1), Hong Kong (1) 

China akan diwakili tiga pasangan. Chai Biao/Hong Wei mudah mengalahkan pasangan tuan rumah, Chooi Kah Ming/Low Juan Shen. Fu Haifeng/Zheng Siwei pula menundukkan satu lagi pasangan Malaysia, Ong Yew Sin/Teo Ee Yi. Li Junhui/Liu Yuchen pula menyingkirkan lawan dari Indonesia. Beregu sensasi Indonesia, Marcus Gideon/Kevin Sanjaya akan meneruskan cabaran negara Garuda itu selepas mengecewakan satu lagi beregu China.

Dua beregu Thailand pula masing-masing menewaskan pasangan dari Denmark dan Taiwan. Pilihan kedua dari Jepun, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda juga layak selepas mengalahkan satu lagi beregu Taiwan. Slot terakhir milik beregu Hong Kong, Or Chin Chung/Tang Chun Man yang memenangi perlawanan menentang beregu Indonesia.

----------------------------------------------

Perseorangan Wanita

Suku akhir: Korea Selatan (1), Sepanyol (1), China (2), Jepun (2), Taiwan (1), Thailand (1)

Sung Ji Hyun menjadi wakil tunggal Korea Selatan dalam acara ini menewaskan musuh dari Taiwan. Carolina Marin (Sepanyol) mudah mengatasi tentangan pemain Thailand. China akan diwakili dua pemain. Chen Yufei menewaskan Goh Jin Wei (Malaysia) dalam pertarungan dua pemain muda yang juga bekas juara remaja dunia. Jin Wei pernah menewaskan Yufei dalam Kejohanan Remaja Dunia 2015. Sun Yu pula menyingkirkan musuh dari Amerika Syarikat.

Dua wakil dari Jepun ialah Akane Yamaguchi dan Nozomi Okuhara, yang masing-masing menundukkan lawan dari Taiwan dan Hong Kong dengan kemenangan mudah straight set. Pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying meneruskan kibaran bendera Taiwan dan bintang handalan Thailand, Ratchanok Intanon, akan terus membawa cabaran negaranya. Tai dan Ratchanok menewaskan rakan senegara untuk melangkah ke suku akhir.

------------------------------------------------

Beregu Wanita

Suku akhir: Denmark (1), Jepun (2), China (4), Korea Selatan (1)

Empat negara besar menguasai acara beregu wanita ketika ini dan masing-masing akan mempunyai wakil di pusingan suku akhir. Kamilla Rytter/Christinna Pedersen (Denmark) menang ke atas beregu Indonesia dengan straught set. Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi (Jepun) yang juga pilihan utama juga menyingkirkan satu lagi pasangan Indonesia. Rakan senegara Misaki/Ayaka iaitu Yuki Fukushima/Sayaka Hirota menewaskan satu lagi beregu Jepun, Naoko Fukuman/Kurumi Yonao. Chang Ye Na/Lee So Hee meneruskan aksi untuk Korea Selatan dengan kemenangan ke atas beregu Bulgaria.

China mendominasi dengan empat slot (50%). Huang Dongping/Li Yinhui menewaskan pasangan Jepun, Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto dalam pertarungan rubber game. Keampuhan mental beregu China terserlah lagi apabila beregu muda mereka, Chen Qingchen/Jia Yifan juga menang rubber game menentang beregu Malaysia walaupun ketinggalan 10-17 di set penentuan sebelum menang 25-23. Huang Yaqiong/Tang Jinhua menewaskan satu lagi pasangan China, Luo Ying/Luo Yu. Bao Yixin/Yu Xiaohan pula menyingkirkan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan.

-------------------------------------------

Beregu Campuran

Suku akhir: Hong Kong (1), Denmark (1), China (3), Korea Selatan (1), Indonesia (1), Thailand (1)

Reginald Lee/Chau Hoi Wah (Hong Kong) menyingkirkan beregu Indonesia. Joachim Fischer/Christinna Pedersen (Denmark) mengecewakan pasangan Jepun. Choi Sol Gyu/Chae Yoo Jung (Korea Selatan) menewaskan pilihan keenam dari Indonesia, Praveen Jordan/Debby Susanto selepas pertarungan rubber game. Pilihan kedua dari Indonesia yang juga juara Olimpik 2016, Tontowi Ahmad/Liliyana Natsir mendapat kemenangan percuma selepas lawan dari Denmark menarik diri.

Wakil tunggal Thailand dalam acara ini, Dechapol Puavaranukroh/Sapsiree Taerattanachai menang straight set mengatasi pasangan suami isteri Adcock dari England. China akan diwakili tiga beregu. Zhang Nan/Li Yinhui menewaskan beregu Hong Kong dan Zheng Siwei/Chen Qingchen menewaskan beregu Thailand. Lu Kai/Huang Yaqiong pula mengalahkan rakan senegara Wang Yilyu/Huang Dongping dengan kemenangan 2-0.

----------------------------------------------------

Armada China menguasai slot pusingan suku akhir dengan 14 wakil dari 40 orang yang layak. Hanya Lee Chong Wei akan meneruskan saingan bagi Malaysia selepas empat wakil lain yang bertarung semalam gugur layu satu demi satu. Goh Jin Wei (juara remaja dunia 2015) berusia 17 tahun ketika ini baru pulih dari kecederaan dan dapat dimaafkan kerana tewas kepada lawan dari China yang pernah ditewaskan dalam sirkit remaja.

Kekuatan China dalam acara beregu (tiga lelaki, empat wanita, tiga campuran). Dua pemain wanita mereka akan beraksi dalam dua acara (beregu wanita dan campuran) iaitu Chen Qingchen dan Li Yinhui. Seorang pemain lelaki mereka pula juga beraksi dalam dua acara (beregu lelaki dan campuran) iaitu Zheng Siwei. Kehebatan China dalam disiplin ini akan diteruskan dengan barisan pemain muda yang bertenaga



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif