Welcome To My Life...

Sunday, June 30, 2013

Merawat Luka


Hari ni 30 Jun. Hari terakhir dalam bulan Jun. Okey, adik aku yang darjah satu pun tau. Esok 1 Julai. Moga bulan baru membawa kebahagiaan kerna tanah bahagia di dasar hati ini sudah lama kemarau. 

Pagi esok, Brazil akan berentap dengan Sepanyol dalam final Piala Konfederasi 2013. Jam 6 pagi. Lepas Subuh, mata aku akan melekat di kaca televisyen. Eh, aku rasa aku tak fanatik sangat. Sekarang aku dah tak bangun jam dua tiga pagi untuk tengok perlawanan bola sepak. Tak macam orang tu, gila Running Man. Haha.

Lebih empat tahun lalu, aku buat satu keputusan yang besar dalam hidup aku. Aku putuskan untuk mencuba. I've decided to try something new in life. Something that i never tried before. Walaupun aku rasa tak layak dan mustahil, aku rasakan satu getaran. Aku memanfaatkan satu peluang keemasan. Cuba merawat sekeping hati Hawa yang dilukai.

Meniti masa, banyak suka duka yang dilalui bersama. 

Bukan sedikit aral yang melintang. Terlalu banyak dugaan yang menghalang. Kawan-kawannya yang menentang dan tidak senang. Khilaf diri ini yang menipu di belakang. Masing-masing dalam proses menjadi lebih matang. Teguh menemani malam dan siang, di kala susah dan senang.

Takdir Allah tak siapa bisa menyekatnya. Bersama masa, terlalu banyak kali hati terasa. Tanpa jarak, dekat jadi terbiasa. Hilang sudah rasa istimewa. Hadir teguran Yang Maha Esa. Perlu ada jarak yang selesa. Bertemu dan berpisah kerna takdir-Nya. Yakinlah kepada Dia.

Sungguh, aku mengaku banyak salah diri ini. Aku hanya insan biasa. Tak terlepas dari melakukan kesilapan. Hati ini juga tahu sakit. Seperti nyanyian Imran Ajmain dalam lagunya, 'Selamat Ulang Tahun Sayang'.

Yang selalu memberi
ingin sekali sekala jadi penerima
cukup dengan salam dan manis doa

Aku yakin dengan perancangan-Nya. Dan selepas empat tahun dari detik itu, aku membuat satu lagi keputusan yang aku kira lebih besar. Aku rasa, keputusan ini perlu. Aku rasa, sudah cukuplah aku memaksa. If people want to stay, the will find their way.

Berhenti menyakiti, tak berhenti mencintai.



Ongoing Project


Aihh, kadang-kadang rasa geram dengan diri sendiri. Ada satu tabiat yang aku cuba nak perbaiki. Tapi masih gagal diubah. Tabiat itu adalah rasa malas untuk menterjemah. Sebenarnya ada bayangan ilham di minda. Cuma tak dijadikan realiti di alam maya.

Aku masih ingat dulu aku ada projek penulisan dengan judul 'Sintok Space Kingdom'. Okey, aku rasa tu terlalu fiksyen fantasi. Status cerita tu masih 'loading'. Sampai bila nak 'loading', hanya Allah yang tahu. Bukan senang nak merapu. Sebab tu aku respek J.K. Rowling dengan siri Harry Potternya dan J.R.R Tolien yang menulis Lord of The Rings.

Lupakan mereka. Sekarang ni aku tekad nak habiskan dua projek iaitu nokon (novel kontot) Maafkan Aku dan A-Level Memories. Aku hanya mampu merancang. InsyaAllah, aku akan cuba sedaya upaya. Moga Allah tiupkan kekuatan dalam diri ini untuk mencari ilham dan mengetuk papan kekunci.

Aku nekad! Tapi... buat masa ni, aku masih malas. Argghh. Ekceli aku dalam proses nak menulis tentang dua aktiviti pasca A-Level. ALM Annual Grand Dinner dan percutian bersama rakan sekelas di Perak. InsyaAllah aku akan cuba siapkan entri dalam masa terdekat.

Kalau diizinkan Allah, malam ni nak cerita pasal grand dinner tu. Sebenarnya aku cuba sibukkan diri dalam usaha merawat hati yang terluka. Asyik tidur je, nak jugak berceloteh dalam blog ni. Masa peperiksaan A-Level, aku biarkan diari aku ni bersawang. 

Projek ni semua masih berterusan. Harapnya aku akan berjaya menyiapkan projek ini sebelum memulakan pengajian peringkat ijazah. Aku ada masa dua bulan. Masa banyak, tapi semangat?



Saturday, June 29, 2013

Nota Buatmu



Today i have made the decision. I have to.

Ku tulis satu puisi. Moga terzahir di pandanganmu.

Biar aku merasa pahit
asalkan kamu tidak sakit

Biar aku kesakitan
jika itu membuat kamu aman

Biarlah aku diam
jika diamku mengizinkanmu tenteram

Biarkan aku berduka
asalkan kamu bisa bahagia

Sekiranya yang ku ada hanya impian
biar aku tinggal dengan kenangan
biar aku lena bersama memori
hanyut dibuai mimpi.

You deserve better. And i'm nobody.



Atip dan Pengantin


Balik cuti ni memang lar kena layan kerenah adik bongsu aku yang baru darjah satu. Jadi pak supir dia. Pagi hantar pergi sekolah. Tengah hari jemput dia balik. Belikan aiskrim. 'Dahaga', begitulah rengekan si comel.

Aku nak cerita masa aku drive umi dan ayah pergi makan kenduri kawan umi aku petang tadi. Atip ikut sekali lar. Acip (abang Atip) pergi perkhemahan pengakap. Rumah kawan umi di Darulaman. Dekat dengan kelab golf. 

Kenduri ni kenduri bukak rumah. Lebih kurang begitulah namanya. Aku tak pasti korang panggil apa. Kalau orang baru masuk rumah, buat jamuan sikit. Itulah bendanya. Sebenarnya aku masih kenyang. Pagi tadi sarapan jam 10 pagi. Jam 3 petang bergerak ke rumah kenduri.

Dalam perjalanan tu, Atip berceloteh macam biasa. Tak reti diam. Adat lar budak-budak kan. Lepas penat tengok Upin Ipin kat henfon umi aku, dia pun mula lar sesi soal jawab. "Kita nak pergi kenduri apa?" tanya Atip. "Kenduri bukak rumah" jawab umi.

"Ada pengantin kan?" Atip menyoal lagi. "Tak ada. Ni bukan kenduri kahwin" umi masih berdialog dengan budak kecik yang memang akan banyak bertanya. 

"Kenduri mesti lar ada pengantin"

Atip.... ni kenduri bukak rumah lar, sayang. Kenduri kahwin je ada pengantin. Adoi, lawak betul dengan kerenah Atip ni. Bagi dia, mungkin kenduri tu sinonim dengan pengantin. Oh adikku, kenduri dan pengantin tu bukan perkataan sama maksud. 

Pengantin kahwin ada kenduri. Tapi kalau kenduri, belum tentu ada pengantin. Haaaa, macam tu. Kanak-kanak ni kreatif pemikirannya. Tak sangka dia boleh kaitkan kenduri dan pengantin tu sangat akrab. You made my day, bro

Nanti kita pergi makan kenduri kahwin, ada lar pengantin. ^_^


Ku Tiba Lagi


Ramadhan akan tiba dan berkata, "Ku tiba lagi..."

Okey, mukadimah memang tak ada kaitan langsung dengan entri. Memandangkan Ramadhan akan menjelma tak lama lagi, sengaja bulan penuh keberkatan itu membuat kemunculan istimewa dalam entri ini.

Selain lagu 'Gerhana' yang aku dengar di radio Sinar FM, aku juga terpikat apabila mendengar dendangan satu lagu yang tajuknya telah pun dinobatkan sebagai tajuk entri ini. Bukanlah lagu baru. Tapi aku baru minat. 

Aku kenal Hyper Act dengan lagu 'Harapan'. Sekarang aku dah ada sebab kedua untuk suka dengar nyanyian Hyper Act. Aku cuma minat korus saja untuk lagu 'Ku Tiba Lagi'. Ini liriknya:

 Ku tiba lagi
bersama rasa rindu datang bertamu
di ruang hati kecil yang berbicara
Ingatilah diriku ini
bersama kenangan itu

Walaupun ku lihat bintang-bintang di balik awan
gugurnya ke bumi menjadi impian
Takkan kulepas apa yang kuharapkan
kerna ku untukmu...

Ekceli aku tak berapa faham connection dua rangkap korus ni. Jadi aku bukan suka korus lagu ni kerana liriknya. Tapi melodinya yang begitu 'menangkap'. Sangat kena dengan jiwa aku. Biasanya aku akan mula muak setelah mendengar sesuatu lagu enam atau tujuh kali berturut-turut.

Lagu ni aku dah dengar lebih sepuluh kali sepanjang tiga hari ni. Masih lagi seronok mengalunkan part korus tu. Kejap je aku rasa. Lama-lama nanti bosan jugak. Macam dulu aku layan lagu 'Remember When'. Kalau ikut apa yang aku belajar dalam Biologi, ini dipanggil accomodation.

Nak terangkan accomodation tu boleh buat entri baru. ^_^ Jadi, aku rasa tak payah lar korang tahu. Ada benda yang tak perlu kita tahu walaupun kita nak sangat tahu. Serabut lagi memeningkan. 

Akhir kata, jom layan lagu Hyper Act. Ku tiba lagi....





Friday, June 28, 2013

Dream Finale


Awal pagi tadi, Sepanyol terus mara. Generasi emas armada Andalusia membenam Itali untuk mara ke perlawanan akhir Piala Konfederasi 2013. Sekali lagi, badi penentuan sepakan penalti menghantui Gli Azzurri.

Menguasai waktu permainan biasa (90 minit), Itali gagal menterjemahkan dominasi kepada jaringan untuk melangkah ke final. Brazil menanti pemenang perlawanan yang bermula jam 3 pagi waktu Malaysia. Aku memang menantikan perlawanan ini kerna reputasi kedua-dua pasukan yang pernah bertemu dalam final EURO 2012.

Syukurlah sekarang ni cuti. Dapat lar aku tengok. Kalau kat kolej, memang takkan lar. 

Keputusan? 0-0. Tanpa jaringan selepas 120 minit masa permainan. Itali pasti menangisi kegagalan memanfaatkan beberapa peluang terhidang. Pada satu ketika, Sepanyol kelihatan hilang punca. Benteng begitu rapuh, terlalu mudah dibocori. Walaupun menguasai bola, serangan balas Itali mengancam kubu La Furia Roja.

Namun, Sepanyol utuh bertahan. Dalam masa tambahan, Sepanyol menunjukkan sebab mereka menjuarai EURO dan Piala Dunia. Serangan bertali arus di akhir-akhir masa tambahan hampir menumbangkan Itali. Tetapi palang dan ketumpulan penyudah menjadi penghalang.

Penentuan sepakan penalti terpaksa memisahkan. Penyudah yang sentiasa kejam untuk mencari pemenang.

Itali memulakan penentuan selepas lambungan syiling di depan mata kapten. Kedua-duanya merupakan penjaga gol. Iker Casillas bagi Sepanyol dan Gianluigi Buffon untuk Itali. Antonio Candreva menjadi pemain pertama berada di titik yang memerlukan tumpuan dan ketenangan. Penentuan bermula dengan satu sepakan ala Panenka oleh Candreva yang memperdaya Casillas.

Sebelas lagi sepakan turut berjaya. Itali 6-6 Sepanyol. Xavi, Alberto Aquilani, Andres Iniesta, Danielle De Rossi, Gerard Pique, Giovinco, Sergio Ramos, Andrea Pirlo, Juan Mata, Riccardo Montolivo, dan Sergio Busquets. Semuanya terlalu mudah. Bagaikan gawang terbuka dan tiada penjaga gol. 

Leonardo Bonucci bersedia untuk sepakan ke-13. Dan.... sepakannya tinggi melepasi palang gol. Harapan Itali di ambang kehancuran. Masih lagi bukan penjaga gol yang menjadi penyelamat. Bukan jua Casillas, yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan. Jesus Navas mengekalkan ketenangan untuk menyudahkan sepakan penalti yang membawa Sepanyol mara ke final satu lagi kejohanan besar.

Sepanyol vs Brazil. It cannot be bigger than this. Two powerhouses of all time. Brazil dengan kejuaraan Piala Dunia terbanyak dan Sepanyol dengan tiga kejuaraan utama berturut-turut (EURO 2008, Piala Dunia 2010, EURO 2012). Mampukah Brazil kembali gemilang dan menamatkan dominasi armada perang Sepanyol?

Mampukah Brazil di bawah pimpinan Luiz Felipe Scolari mengatasi dominasi bola Sepanyol? Pilihan aku? Brazil. Aku mahu samba Brazil memusnahkan rondo Sepanyol. Maaf ya, penyokong Barcelona dan Sepanyol. Aku tak suka dominasi ala China dalam sukan badminton dan ping pong. Bosan.

Neymar, Paulinho, Oscar dan Fred vs Xavi, Andres Iniesta, Juan Mata, David Silva, dan Fernando Torres. Ramalan aku: Neymar akan terus menunjukkan belangnya. Prestasi Neymar pada hari perlawanan akan menjadi penentu kejayaan Brazil. Brazil 2-1 Sepanyol.

1 Julai 2013, 6 pagi waktu Malaysia. Lepas solat Subuh, kita tengok siapa yang kena. ^_^




Thursday, June 27, 2013

ALM Part 1 : Pendaftaran


Adesss. Aku kalau bab cerita bersiri ni, memang selalu tak habis. Tapi kali ni aku nekad nak cuba bercerita sebanyak siri yang boleh. Maka aku cuba jugak merapu sedaya mampu.

Hurm. Pendaftaran. Kisah dua tahun lepas. Tak berapa nak ingat sangat. Tak ada nota untuk dijadikan rujukan. Aku cuma bercerita setakat yang tersimpan dalam kotak ingatan. Pendaftaran sebagai pelajar baru A-Level tajaan JPA... kalau tak salah aku, tanggal 2 Julai 2011. 

Aku sebenarnya datang lebih awal. Singgah di rumah ibu saudara yang dipanggil Cik Com di Putrajaya. Aku tak ingat berapa hari lebih awal. Ayah aku tak bawak kereta. Umi ayah aku ke Putrajaya menaiki bas. Pada hari pendaftaran (2 Julai), kami ke Shah Alam menaiki kereta yang dipandu suami Cik Com merangkap pak cik aku, Cik Boyo.

Sebaik saja sampai di Kolej Cendana, Seksyen 6, perasaan aku tak dapat digambarkan. Aku tak pernah berjauhan dengan famili. Sekurang-kurangnya dengan hakikat bahawa aku akan hidup berdikari. Untuk rekod, aku tak pernah belajar di sekolah berasrama penuh walaupun mendapat tawaran. Aku menolak kerana ingin berada hampir dengan keluarga.

Tingkatan Empat, aku masih berjaya menolak tarikan SBP. Tapi, selepas SPM, tiada lagi jalan untuk melarikan diri. Tidak dapat tidak, aku mesti belajar berdikari. Jauh dari famili. Aku sendiri tak pasti adakah aku akan berjaya. Tempoh paling panjang aku berjauhan dengan famili adalah seminggu saja, sepanjang memori aku mampu mengingati. Ketika itu, aku menyertai perkhemahan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) peringkat kebangsaan.

Saat mendaftar untuk menjadi penghuni kolej, aku rasa berbelah bahagi. Rasa sedih kerana hakikatnya, aku akan berpisah dengan keluarga. Rasa takut untuk memulakan perjalanan baru secara bersendirian. Dan, rasa teruja untuk mendapat pengalaman baru. 

Melihat ratusan figura asing yang tak dikenali, aku juga jadi bimbang. Bolehkah aku berkawan dengan mereka semua? Aku hanya budak Sintok, bukan budak SBP. Aku pelajar sekolah harian yang ditakdirkan Allah tercampak ke satu tempat yang aku sendiri tidak pasti, adakah aku mampu bersaing?

Selepas mendaftar, dan meletakkan barang di bilik baru aku, aku dan famili keluar membeli kunci mangga untuk locker. Semasa meletakkan barang, aku mengenali rakan sebilik yang baru (pada ketika itu). Aku agak kekok sedikit. Bersama diorang lar aku akan menghabiskan masa di bilik. Bukan lagi bersama keluarga.

Apabila famili aku meninggalkan aku sendirian untuk memulakan perjalanan sebagai seorang pelajar selepas tujuh bulan cuti (lepas SPM), aku nekad. Keinginan untuk berdikari begitu tebal. Dan keinginan itu membawa aku melepasi dua tahun penuh liku-liku cabaran. Ya, cuti tujuh bulan selepas SPM memang melemahkan aku. Otak jadi tepu. Ilmu jadi beku. Aku mengambil masa yang panjang untuk kembali pulih. Aku akan ceritakan dalam bahagian yang lain.

Tamat saja pendaftaran kolej, aku pun tinggal di satu tempat yang asing bagi aku. Kolej Cendana, Seksyen 6. Akan aku huraikan dari kaca mata aku dalam entri lain. 

I miss you, Cendana.


Gerhana


Haha.

Mukadimah aku empat huruf je? Kelakar. Dua hari aku cari tajuk lagu yang sangat 'menangkap' di telinga aku. Tapi tak jumpa-jumpa. Jenuh jugak. Pak cik Google pun tak boleh bagi aku klu untuk mendapatkan tajuknya. Kebetulan pulak lagu lama. 

Aku rasa nak putus asa. Tapi, tunggu! Aku Nazif.

Kisahnya begini. Dua hari lepas, aku terdengar satu lagu lama di corong radio. Sinar FM. Aku tak sempat catat liriknya. Aku hanya cari berpandukan lirik yang aku ingat. "Indahnya hanya renungan dari mata hati tapi sinarannya kabur bagai gerhana...". Itu je yang sempat aku ingat.

Bila aku tulis kat Google, tak jumpa. Ada pulak post pasal gerhana bulan lar, gerhana matahari lar. Aku nak LIRIK LAGU! Fuhh, pening. Banyak kali aku cuba. Macam-macam kata kunci aku letak. Satu pun tak kena. Tak keluar pun lirik yang aku nak.

Aku cuba jugak tulis tajuk "Gerhana". Nak tengok kalau ada penyanyi wanita sebab suara yang best tu suara wanita. Pun tak jumpa. Ada dendangan Kembara, M. Nasir. Gerhana Ska Cinta pun ada. Tu kumpulan, aku nak tajuk lagu....

Lebih melucukan, aku sanggup dengar Sinar FM online selama dua hari ni. Sebelum ni tak pernah pun. Aku sangat lar berharap bila aku dengar radio ni, kebetulan aku dengar lagu ni lagi. Kemungkinan yang sangat rendah. Tapi aku tetap ada HARAPAN.

Malangnya, lagu ni tak jugak muncul-muncul. Geram. Ini kali pertama aku begitu susah nak cari MP3. Aku jarang menghadapi masalah. Tak ada kat 4shared, aku convert video Youtube jadi MP3. Mudah. Macam mana nak cari kat Youtube kalau tajuk pun aku tak tau?

Akhirnya, dengan sisa-sisa keazaman yang masih berbaki dalam diri yang terlatih untuk takkan putus asa walaupun tenaga tinggal 0.002%, aku mencuba kata kunci terakhir sambil layan Sinar FM. "Ooo gerhana". Dengan izin Allah, itulah kata kunci yang membenarkan aku menemui tajuknya.

Gerhana - Ogy Ahmad Daud. Love this song very much!

Ya Allah, inilah lagu yang paling susah aku nak cari. Tapi apabila sesuatu benda itu sukar didapati, kita akan lebih menghargai. Kerna aku manusia. Eh, kerna kita manusia. ^_^



Rumah Ini Syurga


Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Pagi ini sudah hari kedua aku berada di baiti jannati. Home sweet home. No matter how far i travel away, this is the place that makes me feel so peaceful.

Sebenarnya, exam dah habis tanggal 19 Jun. Hari kemerdekaan pelajar A-Level batch intake 2011. Tapi ada event yang aku perlu hadiri. Dan.... segalanya berjalan lancar. Memori yang sangat indah. A-Level Medicine Annual Grand Dinner dan class trip. Aku sampai di rumah petang 25 Jun (Selasa). 

Tiga hari berjimba di Perak memang sangat best. Bercuti bersama rakan sekelas memang menyeronokkan. Walaupun bukan satu kelas menyertai trip tu, separuh kelas saja pun dah cukup untuk satu percutian idaman..

Nanti aku update entri khas perjalanan kami ke beberapa tempat menarik di negeri Perak Darul Ridzuan. Ada beberapa kecacatan dalam perancangan. Aku akan ceritakan dengan lebih panjang lebar dalam entri reviu nanti. 

InsyaAllah cuti dua bulan ni, aku ada beberapa sasaran untuk dicapai. Nak belajar memasak sampai boleh buat orang tambah nasik tiga belas pinggan. Nak berbakti untuk umi ayah dan adik-beradik. Nak jadi bakal suami yang lebih baik. Ada satu kekurangan ketara pada diri aku yang aku mesti perbaiki. Nak isteri solehah, aku kena soleh dulu. ^_^

Harap cuti ni dapat jadi lebih bertanggungjawab. Moga Allah permudahkan. I want to be a better Nazif this holiday. .


Thursday, June 20, 2013

A-Level Memories : Prologue


Okey, dengan berakhirnya peperiksaan kertas Unit 5 Kimia semalam, aku telah pun mencapai kemerdekaan dari penjajahan mental oleh A-Level Edexcel. Satu saat yang telah lama aku nantikan. Sejak dua tahun lepas lagi. Sedih jugak lah rasa. Pengalaman pertama berdikari jauh dari keluarga. Eh, aku dah matang?

Maka, dengan perasaan aku-akan-boring-selama-dua-bulan, terdetik di hati aku yang romantik ni untuk buat rangkaian pendedahan bersiri. Tentang kehidupan aku menempuhi A-Level yang penuh ranjau berliku, onak duri, gunung dan lautan berapi (hiperbola kan?). 

Aku tak pasti apa yang aku ingat. Nak tahu apa yang aku ingat tentang memori selama dua tahun ni, kenalah tunggu penulisan aku. Aku sendiri tak pasti apa yang masih dalam kotak ingatan aku. Terutama untuk sem-sem lepas. 

So, memang banyak bahagian lar. Macam sinetron dari negara Pak Suparjo. Mungkin 200 episod. Depends. Bergantung kepada berapa banyak kapasiti ingatan aku. InsyaAllah, yang mana aku ingat aku akan tulis. Yang mana tak ingat, aku akan cuba ingat sampai penat.

Dengan bahagian 'Prolog' ni, maka secara rasminya bermulalah siri kisah kehidupan seorang pelajar A-Level yang telah pun bebas. Dengan lafaz bismillah, nantikan 'ALM Part 1 : Pendaftaran'. ^_^




One Day They Will Know


Buntu. Keliru. Terkelu.

Awak, banyak soalan saya terpaksa jawab bagi pihak awak. Diorang tanya kenapa saya buat macam tu. Diorang persoalkan tindakan saya. Semalam pun kawan awak tu, Nad (masih bukan nama sebenar) pun hairan saya sanggup datang dari jauh (jauh la sangat kan...) untuk buat macam tu. 

Saya pun tak ada jawapan. Saya hanya mampu terdiam. Saya ada jawapan. Ada. Tapi tak terluah dengan kata-kata. Macam perasaan jugak. Ada perasaan yang tak terungkapkan. Tak cukup satu kamus untuk menjelaskan. 

Yang pasti, i have my own reasons.

Dan.. semalam kawan awak kata saya tak boleh buat suami sebab termasukkan plastik minuman. Haha. Saya tau dia gurau. Aduhai, saya terlupa je. Kalau saya ingat, mestilah saya buang. Masa solat Asar semalam baru terdetik di hati.

They try to demotivate me. Takpe, saya maafkan diorang semua. They just don't understand. Satu hari nanti diorang rasa sendiri, baru diorang akan mengerti. 

For now, biarlah Allah yang menentukan. I will prove that they were wrong. If you really want something priceless, then be ready to sacrifice.

What lasts won't come easy. What comes easy, won't last

Sebab tu saya tak rasa rugi pun buat apa yang saya buat. Kerana dirimu begitu berharga...



Wednesday, June 19, 2013

Triple Freedom


Dengan berakhirnya A-Level, maka aku nak nyanyi lagu 'Freedom' selama seminggu dengan hati yang riang. Selamat tinggal buku-buku, kertas-kertas, pen-pen. Pen dan kertas nanti kita bekerjasama lagi. Buku A-Level tak nak jumpa korang dah. Pergi bersemadi dengan aman damai.




Alhamdulillah, i'm a free bird.

International code. Nah, TRIPLE FREEDOM!

Hari Tua


Bukan hari tua aku. Hari tua si jantung hati. Haha, dah tua. Haha. ^_^

Nah gambar kek. Kalau nak kek betul, jom pergi kedai kek.


Sebaik saja tamat peperiksaan A-Level pagi tadi, maka aku pun dalam dilema. Nak pergi atau tak Puncak Alam. Bukan apa. Aku tak pernah pergi ke sana. Nak mengembara kali pertama memang agak berat rasa di hati. Tambah pulak kepenatan yang amat sangat.

Tenaga dah habis jawab Kimia. Kepala pun dah berat. Malam tadi tidur empat jam saja. Tak cukup bagi aku. Aku perlukan enam atau tujuh jam. Itu baru aku kira 'cukup tidur'. Kelemahan terasa sangat membebani. Tapi dengan segala kekuatan yang masih berbaki, aku gagahkan jua ke perjumpaan kelas untuk perbincangan destinasi 'Cuti-Cuti Habis A-Level Dah Mak Kiah Ooi'.

Selepas solat Zohor, aku pun bergerak. Seorang diri saja. Ingat nak ajak kawan. Tapi tak nak susahkan diorang. Nanti aku nak jumpa junior kat sana. Terabai pulak kalau bawak kawan tolong temankan. Bukan ada apa pun kat Puncak Alam tu. Hoho.

Dari Seksyen 2 Shah Alam, naik bas U90. Aku tanya drebar bas. Ambik masa sejam setengah. Sempat lar aku lelap seketika, menghilangkan lelah yang terlalu menyeksakan. Masuk dalam Puncak Alam, aku memang blur. Tak tahu nak turun kat mana. Bila aku turun kat satu perhentian bas tu, rupa-rupanya belum sampai kolej kediaman. Baru kat fakulti. Aku tau lepas tanya sorang junior yang tak dikenali.

Naik semula bas yang aku naik tadi. Kena caj RM1. Sobsob. Aku mencari kolej R5. Blablabla (terpaksa dipendekkan cerita), aku pun turun bas. Sampai pun kolej Rafflesia. Nampak dah bangunan kediaman R5, terus roger junior sekolah lama. Nak mintak tolong sikit.

Terima kasih kepada beliau. Nad, bukan nama sebenar. Jasa anda dikenang sentiasa. Maaf lah menyusahkan. 

Untuk 'dia', selamat hari lahir yang ke-18. ^_^


Terlalu Lama



Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah. Masih lagi diizinkan untuk bernafas dengan percuma dan bernyawa sehingga saat dan ketika ini. Lama sangat tak update blog ni. Rindu yang mencengkam. Bukan tak ada keinginan. Tapi.... situasi terlalu mendesak. Masa terlalu singkat. Masa terbang seperti anak panah yang ingin memburu mangsa.

Sungguh, jari ini ingin meronta-ronta untuk mengetuk papan kekunci. Bukan sikit ilham di minda. Cuma tak cukup masa untuk diterjemahkan menjadi entri. Errr, ilham tu sebelum ni memang ada. Sekarang ni dah hilang. Lenyap bersama peperiksaan A-Level. =.=

Ya, dengan lafaz bismillah, aku telah menjadi graduan A-Level secara rasmi tepat jam 10.40 pagi tadi. Walaupun penamatnya adalah satu kertas seumpama bala bencana, aku macam dah tak kisah sangat. Apa nak jadi pun jadi lah. Aku cuma jawab dengan segala pengetahuan yang ada. Yang tak tahu tu, apalah daya diriku ini. 

Dah usaha dengan segala kudrat, sekarang mampu tawakal je. 

Lega sikit bila tanya beberapa orang dan respons mereka sama macam aku. Soalan Unit 5 Kimia memang tak sama dengan trend peperiksaan sebelum ni. Aku dah kaji soalan-soalan peperiksaan lepas. Tak sesusah kali ni. Bolehlah dijawab, tapi memang tak puas hati.

Apa boleh buat? Benda dah lepas kan. Rasa macam tak percaya pun ada. Lepas ni dah tak payah serabut dengan soalan peperiksaan. Tak payah berkejar ke sana-sini dengan kertas peperiksaan seterusnya dalam fikiran. Lain. Rasa sangat lain.

Tapi sebak tu memang ada. Sebelum mula jawab Kimia pagi tadi, mata aku berair (bukan masuk habuk). Tak percaya aku akan berpisah dengan A-Level yang menyelubungi hidup aku selama dua tahun. Cuti sem sebelum ni memang tak berapa tenang. Kena fikir nak study. Tapi cuti kali ni dah tak payah fikir ulang kaji lagi. Bebas, seperti burung di udara.

Setiap yang bermula pasti berakhir. Tiada yang abadi melainkan Allah. A-Level banyak mengajar aku untuk berdikari. Dua tahun berjauhan dengan famili. 

Selamat tinggal, A-Level. Thanks for the memories. I'll remember you till my last breath


Friday, June 7, 2013

Putrajaya


Belajar A-Level di Shah Alam dah dua tahun. Tak pernah nak jengah Putrajaya. Dah hujung A-Level baru lar nak mencari pengalaman mengembara. Cuba membiasakan diri sebelum belajar di luar negara (insyaAllah). 

Selepas solat Zohor 6 Jun 2013, aku meninggalkan Kediaman Cemara, Seksyen 18. Membeli roti dua bungkus untuk alas perut sementara menanti bas. Seterusnya, menaiki bas T529 untuk ke Seksyen 2. Perjalanan baru bermula, tapi telah diuji oleh-Nya. Aku tak ada wang kecil (RM1) untuk membayar tambang. Kalau bagi duit besar, memang tak ada baki lah naik bas RapidKL ni.

Aku pun buntu. Pak cik bas tu tanya, "nak naik tak?". Opkos lar pak cik. Dia suruh tanya penumpang lain kalau boleh pecah duit aku. Alhamdulillah, dipermudahkan urusan. Sorang hamba Allah dengan baik hati membantu untuk membayar. Moga Allah merahmati-Nya selalu. Terima kasih, cik gadis.

Dari Seksyen 2, menaiki bas U80 menuju ke Pasar Seni (Central Market). Aku tanya pak cik tu "berapa lama nak sampai?". Dia jawab, "tak boleh cakap, tengoklah jalan sesak atau tak". Dengan itu, aku mengandaikan perjalanan sudah pasti melebihi satu jam. Maka, aku pun lelap untuk menghilangkan rasa mengantuk dan kepenatan.

Sampai di Pasar Seni, aku pun tak tahu nak ke mana dah. Macam rusa masuk kampung. Sejujurnya, ini adalah pengalaman pertama aku cuba untuk ke Putrajaya berseorangan. Main jalan saja. Tak tahu caranya. Pusing punya pusing punya pusing, tak jumpa jugak kat mana nak naik bas E1. Platform C, D, dan E yang aku pusing berkali-kali semuanya bas U87, U80 dan sebagainya. 

Aku pun tanya pak cik RapidKL yang ada di situ dan dimaklumkan perlu menyeberangi sungai dan tunggu bas E1 di seberang sana untuk ke Putrajaya. Usai mengucapkan terima kasih, aku pun menaiki jejantas menuju ke seberang sungai. Sampai di sana, aku tak yakin itulah tempatnya. Tanya sorang lagi pak cik RapidKL, aku diyakinkan aku berada di tempat yang betul, Platform F. "Tunggu saja" kata beliau sambil makan mi goreng. Lapar sungguh nampaknya.

Sambil menanti dengan penuh kesabaran dan makan biskut yang aku beli semata-mata untuk memecahkan duit di Seksyen 2, aku diganggu oleh sorang auntie berbangsa Cina yang tiba-tiba nak berbicara dengan aku. Aku pun layan dengan sangat ramahnya dan buat-buat berminat. 'Saya nak makan biskut ni auntie' kataku dalam hati.

Dia tunjuk sorang lelaki asing di belakang aku. Ceritanya, dia melihat lelaki itu tadi menyelongkar beg seorang lelaki/perempuan (tak pasti) berbangsa India. Lelaki itu mendakwa sedang mencari begnya yang berwarna hitam. Aku faham tujuan mak cik itu. Mungkin lelaki itu mengada-adakan cerita. Aduh, bahaya. Aku pun tarik beg aku dan letak di kaki. Berwaspada!

Auntie tu kata, "Kesian juga kalau betul beg dia hilang". Aku mengangguk tanda setuju dan tersenyum untuk tak menghampakan semangatnya bercerita. Auntie peramah yang tak diketahui namanya tu memaklumkan dia dah lama tunggu bas U87 untuk ke Bangsar. Tup tup sampai dua bijik bas menuju ke Bangsar. Tapi bas-bas tu berhenti rehat dulu. Dan.... bas E1 yang aku tunggu pun tiba. Good bye auntie. Putrajaya, here i come!

Sempat lagi melelapkan mata sekejap. Penat.... Mengikut info yang aku baca dalam carian Google, perjalanan ke Putrajaya mengambil masa 45 minit. Sebaik tiba di sana, aku menelefon ibu saudara yang sedia untuk menjemput. Tunggu punya tunggu punya tunggu, hujan tak turun-turun daaa.. Mana lar mak sedara aku ni. 

Aku dah macam cacing kepanasan. Dia mana ada nombor telefon aku. Khuatir dia tak jumpa aku walaupun aku dah maklumkan lokasi aku. Hampir setengah jam menanti, barulah sepupu aku sampai. Hud (bukan nama sebenar) dah ada depan mata aku tapi aku tak perasan. Sejujurnya, aku menanti riak sorang wanita berusia. Tak sangka langsung sepupu aku yang jemput aku.

Akhirnya..... selamat sampai di Desa Pinggiran Putra. Alhamdulillah. Dalam perjalanan, aku dimaklumkan oleh sepupu tadi yang aku boleh menaiki bas D22 dari Putrajaya Sentral untuk ke Desa Pinggiran Putra. Dari Putrajaya Sentral tu, naiklah mana-mana bas Nadi Putra pun, harganya dalam Putrajaya cuma 50 sen. Yeah, nanti aku mengembara lagi.

Perjalanan yang meletihkan. Satu hari yang sangat panjang.... macam-macam cerita. Gadis yang baik hati, mak cik 1Malaysia yang peramah. Letih akan hilang, pengalaman tu yang mahal. Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah.



Tuesday, June 4, 2013

Doa Buatmu Sayang


Kalau sayang seseorang tu, kita akan doakan dia dalam doa kita lepas solat. Dalam sujud kita pun, kita minta pada Ilahi sesuatu untuk dia.


Sorang sahabat tuit. Hahh, memang aku setuju sangat lar sampai jadi entri ni. Sungguh, orang yang kita sayang akan berada dalam doa kita. Ibu bapa, famili, guru, sahabat yang kita cintai kerana Allah, dan si jantung hati. Ya, dia sentiasa dalam doaku.

Kita hanya mampu berdoa. Allah jua yang memakbulkan. Mintalah dengan ikhlas dan yakin. Moga pintu langit terbuka dan doa kita diterima Ilahi.


Monday, June 3, 2013

Kun Fayakun


Allahu, best sangat cerita yang aku dengar dalam kuliah maghrib tadi. Sampai tak dapat nak tahan jari ni dari berkongsi dalam entri yang mungkin ada kaitan dengan tajuk atau mungkin juga tidak. Well, it depends

Kisah ini pelik, tapi benar. Berkaitan dengan surah al-Ikhlas.

Pada suatu hari, Rasulullah berjalan dengan sahabat dan bertembung dengan sorang Arab Badwi yang membawa dhab (biawak padang pasir). Orang Arab Badwi tersebut hairan melihat sorang lelaki dikelilingi oleh beberapa orang lelaki yang lain. 

Lantas dia bertanya: "Siapakah yang berada di antara kalian semua?"

Jawab sorang sahabat: "Inilah Nabi Muhammad, utusan Allah."

Orang Arab Badwi tersebut pantas mara ke depan Rasulullah dan mencaci Baginda SAW. Katanya: "Aku pernah mendengar tentang kau. Sesungguhnya engkaulah orang yang sangat aku benci."

Sahabat sanggup mati untuk mempertahankan Rasulullah SAW. "Izinkan aku memancung kepalanya," Saidina Umar meminta izin.

"Sabar, Umar." Rasulullah berkata sebelum bertanya kepada orang Arab Badwi tersebut: "Apakah yang engkau mahu?"

"Aku tidak percaya kepadamu. Aku tidak akan mempercayai engkau sehingga dhab yang aku bawa ini mengaku beriman kepada Allah."

Maka dengan izin Allah yang apabila Dia mengkehendaki sesuatu, Dia berkata 'jadi' maka jadilah sesuatu itu, dhab itu berkata-kata dalam bahasa Arab mengakui kerasulan Nabi Muhammad dan mengaku beriman kepada Allah. Sungguh terkejut orang Arab Badwi tersebut dan sahabat-sahabat Rasulullah. Pelik bin ajaib.

Lantas orang Arab Badwi tersebut mengucap kalimah syahadah. Dia berkata bahawa dia miskin dan tidak punya apa-apa. Rasulullah bertanya jika ada sahabat sudi membantu saudara baru itu. Abdul Rahman bin Auf pantas menawarkan untanya. Sungguh mulia peribadi jutawan yang dermawan ini, salah sorang dari sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga.

Rasulullah bertanya kepada orang Arab Badwi itu: "Mahukah engkau jika aku ajarkan satu surah yang menyamai 1/3 al-Quran?" dan Rasulullah mengajarkan surah al-Ikhlas.

"Sungguh aku tidak pernah mendengar ayat sehebat ini." Orang Arab Badwi tersebut mengakui kehebatan kalam Allah yang tidak dapat ditandingi mana-mana penyair ulung sekalipun pada zaman tersebut. Jika mereka bergabung sekalipun, tidak akan dapat mencipta satu surah sehebat kalam Allah.

Sungguh banyak iktibar dalam kisah ini. Kun fayakun, sifat pemurah Abdul Rahman bin Auf, dan fadhilat surah al-Ikhlas yang ringkas.

Wallahualam.



Ikhlas


Entri ni bukanlah nak cerita tentang surah al-Ikhlas. Modal utama entri ni adalah berkaitan keikhlasan.

Baru-baru ni aku mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Nazmi Karim di Seksyen 7. Terlalu menarik cerita yang disampaikan hingga aku tak dapat menahan diri untuk berkongsi. Cerita ni telah aku kongsikan dengan si jantung hati. Kebetulan kami SMS.

Kisah ni mengenai sahabat Nabi Muhammad SAW. Kanak-kanak pertama memeluk Islam. Khalifah keempat dalam Khulafa ar-Rasyidin. Ya, Saidina Ali bin Abi Talib.

Satu hari, beliau bertarung dengan musuh dalam peperangan dan berjaya menjatuhkan lawannya. Ketika ingin membunuh lawannya, beliau telah diludah. Pantas mukanya berubah. Siapa tak marah kerana diludah? Lantas Saidina Ali berpaling dan berlalu, membatalkan hasrat untuk membunuh musuh.

Musuhnya tidak berpuas hati lalu memanggil Saidina Ali dan bertanyakan sebab Saidina Ali tidak membunuhnya. Jawapan yang diberi sangat menggambarkan akhlak dan peribadi mulia Saidina Ali.

Katanya: "Sebentar tadi aku ingin membunuhmu ikhlas kerana Allah. Apabila kamu meludahku, aku sudah tidak ikhlas kerana Allah. Sia-sialah aku membunuhmu."

Lebih kurang begitulah jawapannya. Saidina Ali tidak membunuh hanya kerana kehilangan keikhlasan apabila diludah. Kalau kita, mungkin dicincang lawan yang meludah ataupun kita membalas dengan ludahan berkali-kali. Itu tidak dilakukan Saidina Ali yang mengawal kemarahannya.

Aku pernah terbaca bahawa darjat seorang lelaki diukur melalui kemampuannya menahan marah. Pengajaran dari kisah sahabat yang sangat wajar dijadikan iktibar.



Takut Kehilangan


Dua hari lepas aku menanyakan pendapat sorang sahabat tentang satu persoalan yang membebani fikiran aku siang dan malam. Tak tertanggung memikirkannya sendirian, maka aku ajukan untuk mencari jawapan. Persoalan ini pasti pernah berlegar di minda manusia lain jua.

Mengapakah kita begitu takut kehilangan sesuatu yang bukan pun milik kita? Soalan ini boleh dipandang dari perspektif umum. Contohnya, seseorang yang belum menggenggam segulung ijazah tapi sudah bimbang gagal mendapatnya. 

Pokok utama persoalan ini adalah cinta. Kenapa manusia begitu risau kehilangan seseorang yang tak pernah pun menjadi miliknya? Aku bingung. Dan kerna buntu, aku cuba mencari solusi.

Pokjat (bukan nama sebenar) merupakan wasilah dari Allah untuk aku menemui jawapan yang memuaskan bagi aku. Jawabnya, perasaan takut itu normal. Bukan mudah untuk menghilangkan perasaan itu dari hati.

Membuang perasaan takut itu bukanlah seperti menekan butang 'ON' dan 'OFF'. Ianya satu proses. Berdoalah kepada Allah, sesungguhnya Dia lebih mengetahui. Dia yang Maha Berkuasa, kerna Allah yang membolak-balikkan hati. 

Aku tanya sahabat itu bukanlah kerna aku tidak mengadu kepada Pencipta terlebih dulu. Kebiasannya memang aku lihat aku akan menemui jawapan melalui wasilah yang tak disangka-sangka. Contohnya, satu persoalan terdetik di hati aku pada waktu tengah hari. Jawapannya seperti menyerang aku dalam kuliah maghrib malam itu juga.

Aku sering melihat perkara sebegitu sebagai cara Allah menjawab persoalan hamba-Nya. Jika kita melihat dengan hati, maka kita akan sedar. Satu lagi pesan sahabatku, carilah jawapan yang Allah sediakan dalam 'surat cinta'nya yakni kalam Allah, kitab al-Quran mukjizat teragung Rasulullah.

InsyaAllah, aku akan cuba mengawal perasaan ini dari terus menjadi misteri nusantara dalam diri. Bahaya virus perasaan ini.



Sunday, June 2, 2013

Akhi Sempoi


Walaupun masing-masing sibuk dengan keributan peperiksaan, masih sempat meluangkan masa untuk bertemu kerana Allah. Sudah dijelaskan dalam entri INI.

Saja nak tunjuk satu gambar. Jeng jeng jeng.


Cuba cari mana Lelaki Dari Marikh kalau terasa diri tu hebat. Hoho. Nampak lain sikit tak berkaca mata. Nampak lebih macho dari biasa. Puii, bajet betul. ^_^

Ukhuwah kerana Allah itu indah.

Ukhuwah fillah abadan abada.



Buatmu Adinda


2 Jun tidak pernah bererti seperti tahun ini. 2 Jun 2013, dua orang adinda kesayangan mendaftar selaku pelajar di universiti.

'Adinda' jantung hati mendaftar sebagai pelajar Asasi Sains di UiTM kampus Puncak Alam. Dekat dah dengan kanda di Shah Alam ni. Hoho. Setahun lagi boleh lar awak ambik ijazah medik yang awak idamkan tu.

Sorang lagi pula adik kandung yang mengambil diploma Kejuruteraan Komputer di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Nak sangat ada title 'Ir.' kan. ^_^

Semoga berjaya kepada kedua-dua insan yang sangat istimewa dalam hati ini. Sorang saudara sedarah sedaging yang tetap dikasihi walaupun selalu bergaduh. Harhar. Blood is thicker than water. Yang sorang lagi pulak bakal pendamping setia. InsyaAllah.

Kalian lakukanlah yang terbaik. Jangan takut, jangan bimbang. Allah brings you to it, He'll bring you through. Doa kekanda sentiasa mengiringi setiap langkah kalian.


Saturday, June 1, 2013

29


Aku perlu menulis serta-merta, atau aku akan lupa pelajaran pagi ini.

Terlalu banyak untuk diperkatakan. Aku tak tahu nak mula di mana. Alhamdulillah, segala puji bagi Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Dengan izin-Nya, berkumpullah 29 jiwa pemuda yang dahaga akan rahmat Allah. Aku tak kira pun. Sorang sahabat yang sebut dalam penutup majlis. Minimum pun 25 orang tadi. Kalau dilihat betapa singkatnya perancangan, aku rasa boleh dikira satu kejayaan.

Kami mulakan dengan memanaskan badan diikuti sesi permainan untuk mendapatkan tubuh yang sihat dan kuat. Sambil menyelam minum air. Dapat juga merapatkan ukhwah. Walaupun dah dua tahun bersama di INTEC, silaturahim perlu dieratkan.

Malangnya, kaki aku tercedera semasa beraksi dalam permainan pertama iaitu FUTSAL. Main berkaki ayam di atas padang rumput dengan batu kecil yang tajam memang terluka lah. Aku ke masjid berdekatan untuk mencuci luka. 

Balik tu aku sambung main bola beracun dan ragbi. Kalau nak diceritakan proses permainan tu memang tak cukup lima entri. Dipendekkan cerita, majlis kami diteruskan dengan solat dhuha di atas padang rumput. Di situ aku belajar erti solat di mana saja. Bumi ini milik Allah. Kita boleh sujud di mana sekalipun asalkan tempat itu bersih dan suci.

Sejujurnya, ini kali pertama aku keluar dari zon selesa. 'Zon selesa' itu maksudnya solat di tempat yang sangat bersih dan selesa. Mungkin juga kali kedua. Pernah dulu belajar solat dalam hutan semasa kem I-Prokhas. Bezanya semasa itu aku terpaksa solat dalam keadaan begitu. Kali ini aku rela. Aku mahu merasai bagaimana saudara di bumi bergolak solat tanpa masjid atau surau yang SELESA bagi mereka.

Sesi seterusnya adalah usrah. Dimulakan dengan taaruf seperti biasa. Kemudian, ada beberapa perkara diperkatakan. Dua soalan diutarakan. Pertama, sorang lelaki masuk hutan. Pakaiannya terkena banyak najis. Dia tersesat di malam hari dan menemui bekalan air cukup hanya untuk berwuduk. Bagaimanakah cara dia dapat menunaikan solat? Ya, jawapannya secara bogel. Dalam hutan, bukan ada manusia lain. Aurat cuma sesama manusia, bukan dengan haiwan.

Penjelasan sahabat tadi, suci adalah yang lebih utama untuk solat. Menutup aurat itu akhlak kita. Kalau berseorangan dalam bilik, boleh saja solat secara telanjang. Cuma tak sopan kita nak menyembah Pencipta kita. Okey, cukup bab tu. Soalan kedua, sorang mamat ni curi duit. Kemudian dia insaf. Bolehkah dia halalkan duit tu dengan masukkan dalam Bank Islam selama setahun dan keluarkan? Halalkah duit tu?

Jawapannya, tak boleh. Dia curi nilai wang tu. Katakan RM50. Walaupun not RM50 yang dia keluarkan nanti bukan lagi not RM50 yang dia masukkan dulu, dia bukan saja curi kertas bernilai itu. Dia curi nilai wang tu. 

Seterusnya, ada satu perkara yang disebut oleh sorang sahabat yang menarik perhatian aku. Kita terlalu sibuk berbalah tentang perkara ranting sehingga kita lupa permasalahan pokok yang lebih besar. Contohnya, kita berbahas tentang menggerakkan jari telunjuk semasa tahiyat. Kita perlu ingat, masih ada ramai di luar sana yang TIDAK SOLAT. Nauzubillah. Kerja kita adalah untuk mengajak mereka solat, dan bukan bergaduh tentang perkara khilaf. 

Satu lagi perkongsian dari sahabat yang ingin aku sebutkan ketika penutup adalah tugas kita. Teruslah MENYAMPAIKAN. Kita bukan orang yang memulakan dan kita bukanlah generasi terakhir DNT (dakwah dan tarbiyah). Kita hanyalah penyambung risalah. Kemudian kami bergambar dan sesi terakhir adalah MAKAN! Walaupun cuma makan roti saja, tapi nikmat persaudaraan itu sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Nanti aku muat naik gambar. InsyaAllah.



Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif